Kronologi ‘Villa Zaitun/Fairwinds Hotel’
– Sekitar pasca Perang Dunia Pertama (1914-1918), sebuah banglo mewah dibina oleh seorang hartawan Cina Port Dickson
– Selepas era penjajahan Jepun atau pasca Perang Dunia Kedua (anggaran selepas 1945), hartawan Cina itu menduduki semula banglonya.
– Sekitar 1950-an, Fairwinds Hotel mula beroperasi di banglo itu.
– Awal 1990-an, pemilik Zaitun Industri membeli banglo itu dan menjadi ‘Zaitun Villa/Vila Zaitun/Rumah Zaitun’.
– Sekitar pasca 2003, pihak Zaitun Industri melepaskan pemilikan ‘Zaitun Villa’.
*Tambahan, sekitar 2008-2009, ada laporan yang mengatakan terdapat kelibat rusa-rusa di dalam premis Zaitun Villa.
– Kini, pihak Avillion Port Dickson telah membeli hartanah itu dan dijadikan tempat meletak kereta (ketika artikel ini ditulis).
Sejarah Port Dickson dan tempat-tempat lain seperti Lukut yang merupakan syurga perlombongan bijih dan pengeluaran arang pada masa lalu memberikan keuntungan dan nasib yang baik kepada imigran Cina. Pembinaan pelabuhan merancakkan lagi kepesatan ekonomi di Port Dickson. Malah pada tahun 1891, jalan keretapi dibina untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Dari asalnya pelombong biasa, mereka membina kekayaan dan akhirnya mampu memiliki banglo mewah yang memiliki standard senibina Neo-Renaissance yang menjadi trend bangunan mewah di Eropah ketika itu.
Namun kedatangan Jepun, mengubah segala-galanya.
Kekejaman melampau Jepun di banglo tersebut membuatkan ‘aura’ banglo mewah itu tidak seperti sebelumnya. Ia memberikan tekanan perasaan dicampur masalah-masalah lain. Tragedi maut yang melibatkan keluarga hartawan itu membuatkan banglo itu disewakan sahaja kepada orang lain untuk dijadikan hotel.
Hotel itu nampaknya menikmati zaman kegemilangan, namun akhirnya ia dijual, mungkin sekitar 90-an. Ini kerana ketika pengambaran klip video penyanyi Shima itu, ianya sekitar tahun 1990-an dan keadaan banglo itu sudah pun agak terbiar dan terdapat unsur lakumusnah (vandalism) pada bahagian-bahagian seperti tangga dan dinding. Ini bermakna Fairwinds Hotel telah berhenti beroperasi lama sebelum itu. Mungkin awal atau pertengahan 80-an ini kerana pada 1974-76 (tempoh George bekerja di sini), hotel itu masih wujud dan memberikan servisnya kepada George. Jadi pengusaha Zaitun Industri mungkin membelinya sekitar tahun 1990-an itu. Ya, seperti yang ada dalam komen ‘kontraktor’ sebelum ini di Youtube Faizal Rozi.
Zaitun Industri pernah melalui zaman kegemilangan, namun akhirnya tragedi demi tragedi menimpa apabila berlaku salah urus pentadbiran syarikat menyebabkan ianya mengalami zaman kejatuhan.
Saya tidaklah mengatakan bahawa semua ini ada kaitan dengan perkara-perkara ‘mistik’ berpunca dari banglo tua itu. Bagi saya pemilik terakhir jadi begitu adalah atas kesilapannya sendiri.
Sekian.
Untuk kisah yang lebih lanjut, bolehlah lawat ke blog http://historianlodge.historiansecret.com/?p=1853