Sharing Is Caring
Merasa tendangan pertama si kecil dan berfikir, “Adakah itu tendangan, atau cuma angin?
Pengalaman merasai bayi berputar, menggeliut, menumbuk, menendang dan
tersedu merupakan salah satu daripada fasa kehamilan yang anda lalui.
Ada ketikanya anda mungkin gusar tentang
pergerakan bayi. Persoalan seperti adakah bayi cukup menendang atau
terlalu banyak selalu muncul di minda. Tidak kurang juga ada yang
beranggapan bayi mempunyai 2 pasang kaki disebabkan kekerapan dia
menendang.
Trimester Pertama
Bermula daripada awal usia
kehamilan hingga penghujung 3 bulan pertama, trimester awal ini
merupakan masa di mana perkembangan pantas dan menakjubkan berlaku.
Namun, jangan pula menjangka sebarang pergerakan bayi. Ketika ini, bayi
masih terlalu kecil untuk membolehkan anda mengalaminya. Biarpun begitu,
di dalam rahim, ketahuilah dia sudah boleh melonjak tetapi sayangnya,
anda tidak mungkin dapat merasainya.
Trimester Kedua
Pada
trimester ini, bayi anda sudah mampu sekurang-kurangnya menghisap ibu
jari, menendang dan menghentam. Sesetengah wanita yang terlalu kurus
atau yang pernah hamil sebelum ini mungkin boleh merasai pergerakan
pertama bayinya seawal bulan ke-4. Namun, kebanyakan wanita tidak
perasan atau mengenal pasti sentakan dan pergerakan pantas di mana ia
dapat dirasai seperti angin atau kekejangan otot.
Pada bulan
ke-5 pula, kebanyakan wanita dapat merasai kegelisahan dan rasa gemuruh
bayi. Pergerakan bayi akan mula menjadi seperti gerakan akrobatik sebaik
sahaja ototnya kuat dan kemahiran motornya berkembang. Namun, dia masih
kecil untuk melakukan pergerakan tungging terbalik.
Apabila
anda mula merasai “karate” pertamanya, jangan panik jika ia berlaku
semula selepas beberapa jam. Malah ada juga yang merasainya selepas
sehari atau dua. Pada tahap ini, saiz bayi masih kecil. Jadi, adalah
normal untuk anda tidak merasai pergerakan yang tetap. Walau
bagaimanapun, jika anda tidak merasai sebarang pergerakan sehingga
pertengahan bulan ke-5, pastikan doktor yang merawat melakukan ujian
imbasan ultra bunyi untuk memantau keadaan bayi.
Bayi akan mula
banyak bergerak setelah usianya mencecah 6 bulan. Pergerakan kakinya
lebih mengikut irama dan anda akan mula perasan tepukan kaki si kecil.
Disebabkan kesibukan anda menjalani rutin harian, anda mungkin perasan
bahawa bayi lebih aktif sebaik anda beristirehat terutamanya di waktu
malam. Malah selepas anda mengambil snek pun, dia menjadi aktif apabila
kandungan gula dalam darah memberi tenaga tambahan kepadanya. Antara
lain, sewaktu anda berasa gemuruh, pengalaman yang sama dapat dirasai
kerana adrenalin memberi kesan yang sama kepada bayi.
Trimester Ketiga
Pada usia kandungan 7 bulan, rahim semakin sempit. Namun, bayi masih
mempunyai ruang untuk berpusing dan melambung. Dia juga semakin kuat.
Jadi, tumbukannya benar-benar boleh membuatkan anda terkejut. Perlu anda
ingat! Bayi adalah individu. Corak pergerakannya dengan bayi yang lain
adalah berbeza. Jadi, jangan bandingkan pergerakannya dengan bayi dalam
kandungan wanita yang lain. Malah, anda jangan tertekan jika bayi kurang
aktif.
Berat bayi yang semakin bertambah pada usianya 8 bulan
membuatkan ruang dalam rahim semakin sempit. Pergerakan akrobatiknya
semakin berkurangan tetapi anda akan tetap boleh merasai dia menggeliang
geliut dan berputar. Pada ketika ini juga, anda mungkin boleh merasai
tusukan siku dan lututnya.
Pada usianya 9 bulan, anda tidak
dapat merasai tendangan yang menumbuk-numbuk tetapi lebih kepada
senggutan dan sepakan hingga menyentak anda daripada apa sahaja yang
sedang anda lakukan ketika hal ini berlaku. Malah, anda mungkin akan
mengalami kesakitan setiap kali kaki bayi terkena rusuk anda. Untuk
melegakannya, ubah posisi atau miringkan pelvik anda.
Pergerakan Di Akhir Kehamilan
Pada minggu-minggu terakhir, bayi akan berada di dalam mangkuk pelvis
dan bersiap sedia untuk dilahirkan. Kepala bayi dapat dirasai
seolah-olah sebiji tembikai yang menekan lantai pelvis.
Pergerakan Pertama
Kebanyakan wanita akan merasai pengalaman tendangan pertama bayi
sekitar minggu ke-13 hingga ke-25. Sesetengahnya dapat merasai bayi
bergerak seawal minggu ke-13 hingga ke-16. Pergerakan pertama ini
dikenali sebagai quickening. Ia sering digambarkan sebagai getaran. Ia
mungkin sukar untuk tentukan sama ada apa yang anda rasai ialah angin
atau pergerakan bayi. Namun, lama-kelamaan anda berupaya mengenal pasti
corak pergerakannya. Ibu yang pertama kali hamil mungkin tidak dapat
merasai pergerakan ini seawal seperti yang dialami oleh ibu hamil
beberapa kali. Ketahuilah, ada ibu baru yang langsung tidak berpeluang
melalui pengalaman ini sehingga kehamilannya masuk minggu ke-18 hingga
ke-20.
Apabila kepala bayi “turun” ke dalam pelvis, anda akan
terasa “ringan”, disebabkan kurangnya tekanan yang dahulunya berlaku di
bawah tulang rusuk. Pada peringkat ini, anda tidak lagi merasai
pergerakan yang biasa dilakukan bayi. Sebaliknya, anda mungkin mengalami
tendangan yang tidak henti-henti di bawah tulang rusuk sama ada di
sebelah kiri atau kanan (dipengaruhi oleh posisi bayi).
Carta Tendangan
Kebanyakan wanita dinasihatkan supaya mengesan pergerakan bayi dengan
menggunakan carta tendangan. Anda perlu merekod pergerakan bayi sehingga
jumlahnya mencecah 10 tendangan. Sebaik-baiknya pada waktu yang sama
setiap hari. Carta ini membantu anda memahami pola gerakan bayi.
Sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam pola tersebut, berjumpalah
dengan doktor anda dengan segera untuk mengetahui puncanya