Assalamualaikum wbt
Mengapa Islam mensyariatkan umatnya melaksanakan ibadah qurban?
Ibadah qurban merupakan satu ibadah (Ta’abbudi) yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. Di dalamnya terkandung banyak hikmah. Sejarah ibadah qurban bermula pada zaman Nabi Ibrahim A.S. ketika peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail A.S. yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan kuasa Allah S.W.T. Ibadah qurban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah. Mengikut istilah fiqh, qurban (al-udhiyah) bermaksud menyembelih haiwan tertentu sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, pada waktu tertentu iaitu bermula setelah selesainya Solat Hari Raya ‘Eidul Adha (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijjah) kerana beribadah kepada Allah S.W.T., iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijma’ tentang pensyariatan ibadah qurban ini. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah qurban antaranya firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Kautsar ayat 2 bermaksud;
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah (qurban) sebagai (tanda) bersyukur”.
Firman Allah S.W.T. lagi di dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud;
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.
Selain daripada itu, terdapat juga hadis-hadis Nabi S.A.W yang menjadi dalil akan pensyariatan ibadah qurban. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang qurban), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu perelokkan olehmu niat serta binatang yang diqurbankan.”
(Riwayat al-Hakim).
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis para ulama’ telah bersepakat bahawa ibadah qurban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107:
Maksudnya : “Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar”.
Gambar kat bawah ni masa qurban dibuat kat rumah mak abah aku kat Segamat.
Qurban, qurban juga. SOP jangan dilupakan. Kena saman boleh dibayar... Kena covid, sendiri mau ingat. 🤣🤣🤣